Junglewallah Pulihara Alam Sekitar

Oleh : Hamzah Osman – 02 July 2007

Program DiGi Telecommunications Disertai 20 Pelajar Sekolah Sekitar Langkawi Teroka Hutan Simpan Gunung Machinchang. Langkawi : Pemuliharaan hutan bukan saja membantu menyediakan kehidupan yang lebih sempurna, malah dapat mengekalkan khazanah flora dan fauna serta alam semulajadi lain untuk diwarisi generasi akan datang.

Begitulah rumusan yang dibuat 100 pelajar sebaik selesai menjayakan Program Memulihara Alam Sekitar Alam Sekitar selama dua hari di Jungle-Wallah Of Langkawi (Jungle-Wallah), berhampiran Hutan Simpan Gunung Machinchang, di sini, bau-baru ini.

Daripada jumlah itu, 20 pelajar masing-masing mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri dan SMK Tunku Putra, manakala bakinya pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Negeri, SK Kedawang dan SK Ladang Sungai Raya.

Diketuai penerima anugerah Rakyat Malaysia Terhebat DiGi 2007, Irshad Mobarak, 48, dan dibantu 10 fasilitator Persatuan Pencinta Alam (MNS), pelajar terbabit dibawa meneroka khazanah hutan tertua di pulau ini.

Melakukan aktiviti lasak yang turut disertai 10 kakitangan DiGi, pelajar berkenaan berpeluang menikmati keindahan flora dan fauna serta batu-batan dianggarkan berusia lebih 500 juta tahun.

Malah, kesukaran meredah hutan pada hari pertama dalam hujan renyai-renyai tidak begitu dirasai walaupun memaksa peserta lebih berhati-hati kerana bimbang tergelincir selain terpaksa ‘berperang’ dengan pacat dan nyamuk.

Sepanjang perjalanan menyusuri denai pada ketingian 600 meter dari aras laut, peserta nyata tersenyum puas selepas menghayati keindahan alam sekitar sambil mengenali tumbuhan hutan termasuk keruing, nibong dan tongkat Ali.

Program julung kali itu dianjurkan DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) sempena pelancaran Jungle-Wallah di Berjaya Beach & Spa Resort oleh Ketua Pegawai Kewangan DiGi, Stefan Carlsson.

Irshad ketika ditemui berkata, program itu mendedahkan peserta mengenai kepentingan menjaga alam semulajadi, merangsang pelajar meneroka serta mengalami sendiri menggunakan kaedah penemuan melalui bimbingan dan pembelajaran melalui pengalaman

Selain itu, ia diharap dapat mendorong peserta yang kebanyakannya pelajar berusia antara 11 dan 16 tahun menghargai alam sekitar bagi menjamin ia dapat dinikmati generasi akan datang.

Sepanjang program itu peserta dibimbing dalam kelompok kecil untuk menjalani aktiviti berjalan malam, ekosistem hutan, kajian habitat, pemburu alam dan jom jalan-jalan yang memberi pengalaman baru kepada mereka,” katanya.

Selain itu, Irshad yang berjinak dengan hutan simpan di Langkawi lebih 16 tahun lalu berkata, peserta turut berpeluang meneropong burung dan mendapat penjelasan lanjut mengenai habitat unggas itu sebelum menjalankan kajian.

Nur Ezzaty Hasuari Hussin, 16, pelajar Tingkatan Empat SMK Tunku Putra, berkata pelbagai pengalaman pahit dan manis dilalui selama dua hari menikmati keindahan alam semulajadi di Jungle-Wallah.

Memang seronok apabila berada dalam hutan yang redup, tidak tercemar dengan asap dan bunyi, suasananya cukup berlainan seolah-olah kita berada dalam dunia lain yang tenang.”

Saya turut kagum dan terhibur dengan kicauan pelbagai spesis burung dan bunyi serangga hutan yang jarang didengar,” katanya yang bercta-cita menjadi pensyarah dalam bidang verterinar.

Zuraidah Din, 16, pelajar SMK Mahsuri pula berpendapat dalam keadaan yang serba kekurangan dan hutan yang tebalpelajar dapat mempelajari kaedah mendapatkan sifat ‘survival’ dan menjaga diri dalam apa juga keadaan.