Burung enggang diancam kepupusan

Oleh Ilah Hafiz Aziz. – Februari 20, 2023 @ 10:24am
illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kira-kira 26 tahun lalu, naturalis, pemulihara dan pendidik alam sekitar, Irshad Mobarak mengambil keputusan untuk membina kehidupan di Teluk Datai, Langkawi dan tanpa disangka, langkah itu turut menyemai rasa cintanya kepada sepasang burung enggang.

Di sana, beliau yang berusia awal 30an ketika itu melihat tiga ekor burung enggang muda sedang terbang, namun bertarung satu-sama lain sehingga berguguran bulu-bulu pelepah.

Spesies Enggang Terbang Mertua atau Helmeted Hornbill, iaitu unggas paling berharga dan sangat ‘rare’ kerana bahagian bonggolnya (casque) keras dan padu hingga menjadi buruan pedagang untuk dijadikan barangan perhiasan itu rupa-rupanya

sedang berebut untuk menyua makanan kepada seekor burung enggang betina berdekatan.
Tindakan burung itu adalah sebagai usaha ‘melamar’ untuk dijadikan pasangan.

“Dalam pertarungan itu, seekor burung menjadi juara dan dilihat enggang betina menerima suapan daripada ‘sang juara’ dan ia menyuapkan kembali makanan itu ke dalam mulut enggang jantan itu, sebagai tanda persetujuan untuk hidup bersama-sama.

“Perbuatan yang dilakukan oleh kedua-dua enggang itu adalah tanda mereka akan bersama-sama sehingga ke akhir usia, kerana jenis burung ini adalah ‘monogomous’ yang setia sepanjang hayat mereka,” katanya Irsyad.

Episod kehidupan burung enggang

Tambah Irsyad, episod kehidupan enggang Teluk Datai bagaimanapun seperti kisah lagenda apabila, enggang betina itu mati ditembak oleh pemburu haram dan ia menyebabkan enggang jantan itu murung lebih empat bulan.

“Setiap hari, enggang jantan hinggap di pokok paling tinggi di Teluk Datai dan menempik seolah-olah memanggil pasangannya kembali semula. Panggilan itu sungguh sayu dan dapat dirasai oleh semua penduduk di kawasan ini.

“Sehinggalah suatu ketika, saya melihat enggang jantan itu terbang bersama dengan seekor lagi enggang betina dan ketika itu barulah saya tahu, ia mula membuka hati untuk berpasangan semula,” katanya pasangan itu masih bersama sehingga ke saat kini.

Kitaran kehidupan burung enggang

Irshad berkata, burung enggang mempunyai tempoh usia yang panjang iaitu mencecah sehingga 30 tahun dan sepanjang kehidupan dewasa, ia akan menetaskan seekor sahaja anak pada setiap tahun.

“Kehidupan si betina dihabiskan untuk tinggal dalam sarang termasuk sepanjang proses bertelur dan ia boleh mencecah sehingga 30 minggu untuknya berada di dalam sarang itu.

“Dalam tempoh itu enggang jantan yang akan bertanggungjawab membawa makanan seperti buah hutan, serangga, cicak atau tupai kepada pasangannya. Ia bagaikan perkhidmatan ‘room service’ di mana si betina hanya perlu membuat pesanan sahaja,” jelasnya.
Katanya, 30 minggu kemudian, enggang betina itu akan keluar dan menutup kemas sarangnya bagi memastikan anaknya membesar tanpa sebarang ancaman luar.

“Lima ke enam bulan, anak burung enggang itu akan terbang buat kali pertama bersama induknya dan apabila mencapai tahap matang, ia mungkin bertarung untuk mencari pasangan hidupnya. Begitulah kitaran kehidupan bagi spesies burung enggang,” katanya.

Meskipun beliau memperoleh pengalaman berharga dalam pemuliharaan alam sekitar, namun dirinya tetap bimbang dengan situasi kepupusan burung enggang dan spesies hidupan lain akibat ancaman penjarahan hutan sama ada akibat pembangunan atau pemburuan haram.

“Kisah burung enggang ini diabadikan dalam hidup saya dan bercerita di mana-mana sahaja untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya melakukan sesuatu agar khazanah ini tidak lenyap seperti spesies kehidupan alam lain,” katanya.

Negara ketandusan burung enggang

Negara semakin ketandusan keberadaan burung enggang sejak lebih 10 tahun lalu terutama spesies Enggang Terbang Mertua

dan hari ini semakin membimbangkan disebabkan oleh beberapa faktor.

Pakar ekologi dari Universiti Malaya (UM), Dr Ravinder Kaur, berkata ketika ini sebanyak 10 spesies burung enggang di seluruh negara, meliputi Enggang Kekek, Enggang Badak, Enggang Papan, Enggang Kelingking, Enggang Gunung, Enggang Buluh, Enggang Bulu dan Enggang Hutan

Malangnya, ada antara spesies berkenaan mempunyai status hampir diancam kepupusan dan berada dalam senarai dalam merah International Union for Conservation of Natura (IUCN) terutamanya Enggang Tebang Mentua.

“Mereka mengesan hanya ada enam ekor spesies itu, yang berada di Hutan Hujan Sukau, Kinabatangan, Sabah, manakala spesies lain tidak dapat dipastikan jumlahnya.

“Spesies burung enggang ini antara yang paling berharga dan sangat sangat ‘rare’ kerana bahagian bonggolnya keras dan padu, lantas ia menjadi buruan pedagang untuk dijadikan barangan perhiasan.

“Berbeza dengan enggang lain, paruh enggang Terbang Mertua berisi dan boleh diukir dengan cantik. Ia sebenarnya diburu sejak zaman Dinasti China lagi dan masih berterusan sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Hotel Alila Bangsar, Kuala Lumpur sempena kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Burung Enggang (Gaia)

Ketiadaan pokok balak besar akibat aktiviti pencerobohan hutan dan pembalakan menjadi antara lima punca spesies burung berharga itu tidak dapat membuat sarang dan menetaskan anak.

Katanya, burung enggang adalah spesies hidupan yang sensitif dengan perubahan alam semula jadi dan ia boleh mempengaruhi populasi yang ada.
“Walaupun kita tidak mempunyai data sebenar populasi burung enggang, namun kita boleh katakan unggas itu sudah tidak banyak. Malah, sejak 2013, saya amat jarang melihatnya, apatah lagi sekarang.

“Ini mungkin mereka sudah tidak mempunyai anak kerana kebanyakan tempat mereka bersarang sudah tiada atau erti kata lain, tiada tempat untuk bersarang.

“Spesies ini hidup menjangkau 30 tahun dan setiap tahun akan menetaskan seekor anak tetapi ketika ini di mana ‘the babies’ dan itu menjadi persoalannya,” katanya.

Bina kotak sarang tiruan

Menyentuh mengenai penciptaan kotak sarang tiruan yang dihasilkan melalui Gaia sejak 2015, beliau berkata ia dilakukan untuk memastikan kesinambungan setiap spesies burung enggang berterusan.

“Walaupun hutan sudah kehilangan pokok besar dan tinggi, kita mahukan mereka ini terus membiak dan bersarang.

“Pemasangan kotak sarang tiruan ini daripada kotak penting kerana burung enggang memerlukan jenis rongga pokok semula jadi yang terpilih untuk bersarang, memandangkan ia tidak dapat membentuk sarang sendiri dan yang semula jadi, kini semakin berkurangan di hutan ini.

“Berdasarkan pemerhatian kami, amat kurang melihat Enggang Terbang Mertua dan ia adalah spesies yang paling kami bimbangi,” katanya.

Katanya, antara cabaran dalam pemasangan kotak sarang tiruan untuk mencari ketinggian yang sesuai untuk memastikan spesies burung ini bersarang.

“Seperti saya katakan, enggang spesies burung yang sensitif untuk memilih tempatnya bersarang, tetapi saya boleh katakan kotak tiruan dihasilkan selamat untuk mereka,” katanya.

Selain itu, enggang dikatakan spesies unik dan digambarkan sebagai ‘petani hutan’ kerana memainkan peranan ekologi yang penting dalam penyebaran benih.